بسم الله الرحمن الرحيم
Orang yang hidup mengekang diri dengan satu gaya atau model hidup, sudah tentu akan dilanda kebosanan. Itu terjadi, kerana jiwa manusia pada dasarnya cenderung mudah jemu. Tabiat dasar setiap manusia adalah tidak senang berada dalam satu keadaan yang sama. Dan kerana itu pula, maka Allah menciptakan banyak warna dan bentuk untuk suatu tempat, zaman, makanan, minuman dan makhluk-makhluk ciptaan-Nya. Ada malam dan ada siang, ada dataran tinggi dan ada dataran rendah, ada putih dan ada hitam, ada panas dan ada dingin, ada manis dan ada pahit. Kepelbagaian dan perbezaan ini seringkali disebut Allah dalam beberapa firman-Nya. Diantaranya Allah berfirman bahawa,
“(Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warna”
(QS. An-Nahl: 69)
“Dari pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun”
(QS. Ar-Ra'd: 4)
“Dan di antara gunung-gunung pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam”
(QS. Fathir: 37)
“Dan demikianlah keadaan hari-hari (kejayaan dan kesedihan) Kami pergilirkan antara sesama manusia (supaya menjadi pengajaran)”
(QS. Ali 'Imran: 140)
Malahan, Bani Israel pernah merasa bosan dengan makanan paling baik mereka dan mengeluh pada Allah,
“Dan kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja”
(QS. Al-Baqarah: 61)
Al-Makmun kadang kala membaca sambil duduk, sesekali dengan berdiri dan pada saat yang lain sambil berjalan. Dan kerana itu pula dia telah berkata, "Jiwa manusia itu sungguh mudah merasa bosan."
“(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring”
(QS. Ali 'Imran: 191)
Ayat ini mengisyaratkan bahawa dalam beribadah pun manusia akan merasa jemu. Oleh kerana itu, maka Allah telahpun memberikan banyak bentuk pilihan dan cara beribadah kepada para hamba-Nya. Sebagaimana kita ketahui, Allah telah menetapkan pelbagai amalan hati, amalan lisan, amalan badan dan ada amalan harta. Kita juga tidak hanya diwajibkan solat tetapi juga membayar zakat, menjalankan puasa, menunaikan haji dan ikut berjihad. Bahkan, dalam solat pun kita tidak hanya disuruh berdiri sahaja tetapi juga ruku', berdiri, sujud dan duduk.
Semua ini membuktikankan bahawa siapapun yang menginginkan kepuasan, semangat yang sentiasa baru dan produktiviti, maka ia harus pandai membahagi waktunya. Iaitu, ia perlu membahagi waktu bila ia harus bekerja, merenung dan mencari hiburan. Dalam hal membaca pun anda perlu kepelbagaian; bila anda harus membaca al-Qur'an, tafsir, sirah Rasulullah, hadits, fikih, sejarah, sastera dan ilmu pengetahuan umum. Demikian pula dalam menjalankan kegiatan rutin harian, Anda harus dapat menentukan bila waktu untuk beribadah, berhibur, mengunjungi kenalan, menerima tamu, beriadah dan berkelah. Dengan begitu, nescaya jiwa anda akan selalu merasa segar dan bersemangat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan